Salam sejahtera kepada semua pengunjung blog ini. Harapan saya agar anda semua baik-baik saja. Maaf kerana tidak sempat update kan blog ini sebelum tahun baru. Walau bagaimana pun, belum terlambat untuk mengucapkan “SELAMAT TAHUN BARU” kepada anda semua. Saya berdoa agar pada tahun yang baru ini, anda semua mendapat berkat yang berlimpah-limpah dari Tuhan kita Yesus Kristus. Biar pun agak lambat, saya ingin mengongsikan pengalaman saya dan juga sedikit Firman Tuhan agar kita sama-sama diberkati dan mendapat sedikit bekal untuk menghadapi tahun 2009 ini.
Semasa saya remaja dahulu, saya pernah menyambut tahun baru dengan cara yang dunia ajarkan. Biasanya, setiap pergantian tahun, tepatnya pada jam 12 tengahmalam pada 31 Dec, adalah satu waktu yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang. Tujuannya cuma satu iaitu, tepat jam 12 tengah malam, mereka akan terjun ke dalam air atau sungai atau laut, dan mencelupkan diri mereka ke dalam air. Tentu saja akan diteruskan dengan mandi-mandi. Apakah tujuan mereka melakukan ini? Kata mereka, dengan melakukan ini, mereka dapat menanggalkan segala perkara sial dari tahun yang sebelumnya supaya tidak terbawa ke tahun yang baru. Pakaian yang dipakai semasa mandi juga harus dibuang. Namanya juga buang sial. Ini merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang. Saya juga pernah melakukannya kerana terpengaruh. Memang pada waktu itu, saya tidaklah mengenal Tuhan atau FirmanNya.
Yang amat menyedihkan adalah kepercayaan ini datang dari golongan yang mengaku percaya kepada Yesus. Perkara ini sebenarnya telah menjadi satu cemuhan dari orang-orang bukan Kristen dan bahkan menghentam iman Kristen kerana hal ini. Saya percaya, mereka yang melakukan ini tidak tahu apa yang sedang mereka lakukan kerana mereka tidak berakar dalam Firman Tuhan. Seperti saya dahulu melakukannya tanpa tahu apa-apa. Sebab itulah, apapun yang kita lakukan, yang kita hadapi, harus kembali kepada Firman Tuhan supaya kita tidak melakukan perkara yang tidak benar. Ini sangat penting kerana kita adalah umat Tuhan yang sudah ditebus. Maka, kita haruslah tahu membezakan yang mana benar atau dosa.
Jika demikian, bagaimanakah kita menanggapi pergantian tahun? Tahun baru merupakan sesuatu yang penting. Tahun baru bermakna kita memasuki satu bab baru dalam kehidupan kita. Tahun baru bermakna kita baru sahaja meninggalkan satu episod lama dalam hidup kita. Tanpa disedari, tahun baru seolah-olah memberikan satu kekuatan kepada manusia untuk memulakan sesuatu yang baru. Sedangkan, untuk memulakan sesuatu yang baru, tidak perlu menunggu permulaan tahun. Tapi hakikatnya seperti itu. Perkara ini sudah menjadi lumrah bagi kita. Kita juga menilai hidup kita setiap akhir tahun, apakah kita berjaya memperoleh impian kita atau tidak. Tentu di sepanjang tahun, kita mengalami banyak tantangan dan cabaran, juga kegagalan dan kejayaan. Sebab itu, ramai orang yang membuat azam dan tekad yang baru setiap awal tahun. Tentu saja itu adalah sesuatu yang sangat baik. Tetapi persoalannya adalah berapa ramaikah diantara kita yang dapat melaksanakan azam baru kita? Ada banyak hal yang ingin kita perbaharui dalam hidup kita tetapi setiap akhir tahun, ternyata banyak hal yang tidak berubah dalam hidup kita. Jadi, bagaimana caranya kita memulakan sesuatu yang baru? Sebagai orang percaya, persoalan ini harus kita bawa ke Firman Tuhan kerana Firman Tuhan itulah yang dapat menjawab semua persoalan kita. Marilah kita lihat di Yesaya 43: 18-19.
18-FirmanNya : ” Janganlah ingat-ingat hal-hal yang dahulu, dan janganlah perhatikan hal-hal yang dari zaman purbakala ! 19-Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru , yang sekarang sudah tumbuh, belumkah kamu mengetahuinya ? Ya aku hendak membuat jalan di padang gurun dan sungai-sungai di padang belantara.
Haleluya! Tuhan kita adalah Tuhan yang sukakan pembaharuan. Dari pembacaan di atas, Tuhan mengajarkan kepada kita bagaimana memulakan sesuatu yang baru. Dari Firman Tuhan ini, kita menemukan dua kunci untuk memulakan sesuatu yang baru. Kunci pertama adalah :-
1.MENGUBAH PERSPEKTIF/CARA PANDANG KITA -Jangan lagi mengingat hal-hal yang dahulu atau dengan kata lain melupakan perkara-perkara yang sudah berlalu.(Yes 43: 18)
Ada dua perkara yang menghalang seseorang untuk memulai perkara baru dalam hidupnya iaitu:-
i. Pengalaman yang pahit
ii. Kesuksesan masa lalu
Pengalaman Pahit.
Ramai orang yang tidak dapat memulakan hidup yang baru kerana mereka terbelenggu dengan masa lalu mereka yang pahit. Walaupun perkara itu sudah terjadi bertahun-tahun yang lalu, namun masih membelenggu jiwanya. Mungkin perasaan tertolak dari ibubapanya, putus cinta, dikhianati seseorang, dipermalukan, dianiayai, gagal dalam pelajaran dan bermacam-macam pengalaman pahit. Oleh kerana dia tidak dapat keluar dari masa lalunya, hidupnya tidak dapat berubah. Dengan kata lain, “TIDAK MAMPU MENGELOLA MASA LALUNYA”. Untuk keluar dari belenggu ini dan membuat pembaharuan dalam hidup kita, kita haruslah melupakan semua kepahitan kita yang lalu. Kita tidak boleh terus-menerus hidup dengan masa lalu kita, menangisi penderitaan, kegagalan, kekecewaan kita, kesalahan dan kelalaian kita. Ada orang yang terus-menerus mengingati dan menangisi masa lalunya dan menganggap bahawa dirinya adalah manusia paling kasihan dan malang di dunia ini. Seandainya saja kita membuka mata kita luas-luas, kita akan dapati bahawa ada begitu ramai orang yang jauh lebih menderita dari kita. Sebab itu, kita harus mengubah cara fikir kita. Apa yang perlu kita lakukan adalah “BELAJAR DARI MASA LALU KITA”. Setiap manusia akan melakukan kesilapan dan kesalahan dalam hidupnya tetapi yang membezakannya adalah apabila ia mahu belajar dari kesilapan tersebut. Melupakan kepahitan masa lalu kita bermakna kepahitan itu tidak menyakitkan kita lagi apabila teringatkannya. Sebab itu, marilah kita melupakan semua perkara yang negative di tahun lalu atau tahun-tahun sebelumnya supaya kita dapat memulakan perkara baru yang ingin kita lakukan.
KESUKSESAN MASA LALU
Perkara kedua yang menghalang seseorang untuk memulakan perkara baru dalam hidupnya adalah kesuksesan masa lalunya. Ramai orang tidak dapat mencapai hal-hal yang lebih gemilang kerana kejayaan masa lalunya. Dia masih bernostalgia dengan kejayaan masa lalunya. Contohnya seperti kekayaan masa lalunya, kehebatan, kebahagiaan, kehormatan, bahkan pengalaman rohani masa lalunya. Tetapi yang harus kita lakukan adalah melupakan semua yang lama samada yang pahit atau yang manis.
If your Past Success still looks big to you,then you are DOING NOTHING TODAY !
[ Michael Gorbachev ]
Statement dari Michael Gorbachev ini sangat tepat. Seandainya kita masih beranggapan bahawa kejayaan lalu kita masih kelihatan hebat, sebenarnya kita sudah tidak melakukan apa-apa hari ini. Kejayaan lalu adalah perkara yang sudah berlalu, dan kita tidak hidup di waktu itu lagi. Kita hidup HARI INI. Seandainya kita sudah merasa puas dengan pencapaian kita, maka kita tidak akan dapat melakukan hal-hal yang lebih baik. Benarlah statement ini, “The Enemy of BEST thing is all of your GOOD things .” Musuh bagi hal-hal yang terbaik dalam hidup kita adalah hal-hal baik yang kita miliki. Saudara/i, jika anda mahu melakukan hal-hal yang lebih hebat, sila tinggalkan kejayaan masa lalumu. Dan kau akan melihat, ooh..ternyata engkau mampu melakukan hal-hal yang jauh lebih baik.
Kunci kedua untuk memulakan hal yang baru adalah:-
2. ADAPTIF/CARA HIDUP KITA
“Lihat,Aku hendak membuat sesuatu yang baru, yang sekarang sudah
tumbuh, belumkah kamu mengetahuinya ?Ya aku hendak membuat jalan di
padang gurun dan sungai -sungai di padang belantara.) Yes 43: 19
Sesuatu yang baru itu berbicara tentang pembaharuan. Pembaharuan ertinya perubahan.
Tuhan mahu kita melupakan hal-hal yang lalu kerana ternyata DIA hendak melakukan hal-hal yang baru. Maka yang harus kita perhatikan adalah cara hidup kita.
Maksudnya adalah mampukah kita mengelola Perubahan atau tekanan. Contoh paling ketara dalam Alkitab tentang hal ini adalah bangsa Israel. Semasa mereka berada di Mesir dan hidup dalam perhambaan, mereka berseru kepada Tuhan meminta pertolongan alias pembaharuan/perubahan. Mereka mahu memulakan hidup yang baru sebagai orang-orang merdeka. Dan Tuhan mendengarkan mereka. Ternyata, apabila mereka masuk ke dalam proses pembaharuan tersebut, mereka tidak mampu mengelolanaya. Mereka tidak dapat menerima tekanan dan cabaran yang ada sehingga mereka memberontak kepada Tuhan. (Keluaran 14: 10-12, Kel 15: 22-26, Kel 16, Kel 17: 1-7) Bangsa Israel tidak dapat menangani tekanan yang mereka hadapi. Mereka bersungut-sungut, menyalahkan Tuhan bahkan menganggap hidup di Mesir lebih baik. Akhirnya, seluruh generasi itu tidak dapat memasuki tanah Kanaan. Mereka mati di padang gurun. Apabila kita mahu memulakan sesuatu yang baru, kita haruslah sedia mengubah cara hidup kita. Sebagai contoh, jika sekiranya seseorang hendak berhenti merokok, dia haruslah sedia menghadapi tekanan dari teman-temannya yang merokok. Pasti ada cabaran. Tapi kita hendaklah berani menghadapi semua cabaran yang menanti kita. Janganlah kita menjadi seperti bangsa Israel yang gagal mengelola tekanan. Sesungguhnya, padang gurun itu melambangkan tekanan, cabaran yang kita hadapi. Tapi janganlah kita takut kerana Tuhan berkata Dia akan membuat jalan bagi kita sehingga kita sanggup menghadapinya. Apabila kita hendak melakukan perubahan, pasti ada yang menghalanginya tetapi mari kita kuatkan hati kita supaya kita sungguh-sungguh dapat melakukan perubahan yang ingin kita lakukan kerana sesungguhnya “PERUBAHAN BUKANLAH PERUBAHAN SAMPAI TERJADI SUATU PERUBAHAN”.
Oleh itu saudara/i, marilah kita mulakan satu azam baru di awal tahun ini dengan memakai kedua kunci ini iaitu:-
1.MENGUBAH PERSPEKTIF/CARA PANDANG KITA
.. Janganlah ingat-ingat hal-hal yang dahulu, dan janganlah perhatikan hal-hal
yang dari zaman purbakala !
- Mampu mengelola masa lalu & masa depan
2.MENGUBAH ADAPTIF/CARA HIDUP KITA
.. Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru , yang sekarang sudah tumbuh,
belumkah kamu mengetahuinya? Ya aku hendak membuat jalan di padang gurun
dan sungai-sungai di padang belantara.
- Mampu mengelola perubahan/ tekanan
HALELUYA!!
Selamat tahun baru 2009
Kiranya ditahun yang baru ini,
Ada berkat Tuhan yang baru
Ada semangat yang baru
Ada komitmen yang baru dalam melayani.
Monday, January 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Hey Bro,
What a nice entry, I would love to translate it into BM and ask my friend in OZ to read... I am blessed! Carry on. GBU!
dipersilakan...thanks
Post a Comment