Saturday, December 20, 2008

KRISMAS YANG BERHASIL

Hari Natal atau Hari Krismas kembali lagi. Boleh dikatakan seluruh dunia turut menyambut dan merayakan Hari Krismas. Tiada perayaan lain di dunia ini yang disambut lebih meriah dari Hari Krismas. Bandaraya-bandaraya diseluruh dunia dihiasi dengan cantik dan indah. Di kuala Lumpur sendiri, supermarket-supermarket, kedai-kedai, hotel-hotel dan tempat-tempat peranginan telah pun mula dihiasi dengan pohon-pohon krismas dan juga berbagai-bagai hiasan sejak awal bulan November. Bahkan orang-orang bukan kristen seringkali lebih dahulu menghiasi kedai mereka dengan pokok dan lampu-lampu krismas. Bagi para peniaga, inilah waktunya bagi mereka untuk meraih keuntungan yang lebih. Bangunan-bangunan pejabat atau hotel pula seperti berlumba-lumba untuk menghiasi pekarangan dan lobi mereka. Sepertinya ada sesuatu yang kurang jika mereka tidak menghias premis mereka. Orangramai pula mengambil kesempatan untuk mengambil gambar ditempat-tempat menarik yang mereka kunjungi. Pada waktu yang sama, lagu-lagu Krismas berkumandang di merata tempat. Tidak ketinggalan Mr. Santa Claus untuk menyerikan perayaan ini.

Jika orang dunia begitu berghairah menyambut hari krismas, pastilah orang Kristen lebih berghairah. Inilah waktunya kita membeli baju-baju baru. (Saya masih ingat, semasa saya masih kecil, hanya pada perayaan Krismas sahaja saya mendapat baju baru). Rumah kita pula dihiasi dengan pohon natal. Gereja juga mula mengadakan Carroling samada di kampung-kampung atau di bandar-bandar. Acara-acara kebaktian digereja juga mula bertemakan krismas. Bagi gereja dibandar-bandar, kebaktian pra-krismas diadakan kerana ramai anggota jemaat yang akan pulang ke kampung. Pada hari Krismas pula, seringkali pihak gereja mengadakan acara “makan bersama”selain dari berbagai persembahan yang menarik. Acara bertukar-tukar hadiah juga merupakan acara yang tidak pernah ditinggalkan.Tidak kurang juga yang melangsungkan perkahwinan pada hari tersebut.

Bolehlah dikatakan bahawa golongan yang menyambut Krismas ini bertungkus lumus untuk memberikan hasil yang terbaik. Entah itu dunia perniagaankah atau orang Kristen sendiri. Bagi seorang peniaga, keberhasilan perayaan krismas itu diukur dari berapa banyakkah keuntungan yang diperolehi. Yang lain pula beranggapan bahawa berhasil atau tidak krismas tahun itu bergantung kepada meriah atau tidak acara itu berjalan. Tentu sahaja tujuan dan cara menyambut krismas itu berbeza diantara orang dunia dengan orang Kristen. Bagi orang dunia, perkara terpenting dalam sambutan krismas itu adalah seperti hiasan yang indah, pokok-pokok krismas, lampu krismas dan juga santa Klaus. Majlis mereka pula dipenuhi dengan arak, muzik dan lagu-lagu dunia, pesta pora dan mabuk-mabukan. Yang sedihnya, sedikit-sebanyak orang Kristen sendiri turut terpengaruh dengan kebiasaan tersebut. Ramai orang lebih mengingati santa Klaus dari Tuhan Yesus sendiri pada perayaan krismas. Anak-anak orang Kristen uga begitu. Tanpa sedar, orang percaya mula kehilangan akan inti dari hari krismas itu sendiri. Mereka lebih berghairah dengan pokok krismas, hadiah-hadiah dan segala macam hiasan dunia dan acara-acara yang bersifat duniawi. Pertanyaannya adalah bagaimanakah kita mengukur samada sambutan krismas itu sungguh-sungguh mencapai tujuannya dan berhasil??

Untuk mempelajari bagaimana sambutan krismas yang sungguh-sungguh berhasil, kita harus kembali kepada Firman Tuhan. Topik ini akan membawa kita kepada Firman Tuhan yang diambil dari Lukas 2: 15-20:-
15-Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke Syurga,gembala-gembala itu berkata seorang kepada yang lain: “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat apa yang terjadi disana, seperti yang diberitahukan Tuhan kepada kita.”
16- Lalu mereka cepat-cepat berangkat dan menjumpai Maria dan Yusuf dan bayi itu yang sedang berbaring di dalam palungan.
17- Dan ketika mereka melihat-Nya, mereka memberitahukan apa yang telah dikatakan kepada mereka tentang Anak itu.
18- Dan semua orang yang mendengarnya heran tentang apa yang dikatakan gembala-gembala itu kepada mereka.
19- Tetapi Maria menyimpan segala perkara itu di dalam hatinya dan merenungkannya.
20- Maka kembalilah gembala-gembala itu sambil memuji dan memuliakan Allah karena segala sesuatu yang mereka dengar dan mereka lihat, semuanya sesuai dengan apa yang telah dikatakan kepada mereka.

Melalui pembacaan Firman Tuhan diatas, kita dapat melihat bahawa para gembala tersebut merupakan golongan pertama yang merayakan Krismas atau kelahiran Yesus. Krismas merupakan hari untuk orang Kristen memperingati dan merayakan kelahiran Yesus, Sang Juruselamat dunia . Para gembala itulah orang-orang pertama yang merayakannya. Melalui Firman Tuhan itu, dapatlah kita simpulkan bahawa ukuran keberhasilan Natal yang sesuai dengan kehendak Allah bukanlah hanya pada acara yang berjalan baik , hiasan yang luarbiasa indahnya,tetapi yang menjadi ukuran keberhasilan perayaan natal adalah adanya reaksi yang benar dari orang-orang yang mendengar berita natal.

REAKSI YANG BENAR.
Pada setiap acara sambutan natal, kita akan dapat melihat berbagai reaksi dari orang yang mendengar atau menyambutnya. Jika reaksi orang-orang yang mendengar dan menyambut natal itu benar, bererti itulah natal yang berhasil dan sesuai dengan kehendak Allah. Pertanyaannya adalah, apakah reaksi yang benar itu? Dari teks pembacaan diatas, kita dapat pelajari 3 macam reaksi yang benar yang dapat menjadi ukuran keberhasilan perayaan natal kita.

1. Adanya orang-orang yang merasa heran atau ajaib setelah mereka mendengar berita natal (ay. 18)

Reaksi yang pertama yang timbul dari orang-orang yang mendengar berita natal yang pertama dan yang disampaikan oleh para gembala adalah - HERAN /HAIRAN. Mereka yang mendengar kabar dari para gembala merasa sangat hairan kerana peristiwa ini merupakan sesuatu yang ajaib. Seluruh peristiwa yang mereka alami itu diceritakan dari ayat 8-14. Inilah yang mereka ceritakan di Betlehem dan seluruh peristiwa ini mengacu kepada Yesus. Rasa hairan mereka ini mungkin disebabkan kerana pendengarnya kurang mengerti atau kerana rasa kagum. Tentu saja rasa kagum ini tertuju kepada Yesus. Betapa dahsyatnya bayi itu sehingga Syurga mengutus sejumlah besar bala tentera, iaitu para malaikat untuk menyambut dan merayakan kelahiran anak itu. Bukankah ini suatu peristiwa yang ajaib dan menghairankan?
Berbalik kepada perayaan natal kita, masih adakah orang yang merasa hairan akan berita tentang kelahiran Yesus? Bagaimana dengan kita secara peribadi? Apakah kita masih hairan akan keajaiban kasih Bapa yang telah mengutus Yesus ke dunia ini bagi menyediakan jalan keselamatan bagi seluruh umat manusia? Apakah kita masih hairan akan kesanggupan Yesus untuk merendahkan dirinya dan lahir sebagai manusia kerana kasihNya bagi manusia? Tanpa kelahiran, tiada karya penyelamatan. Tetapi Yesus sanggup melalui semua ini untuk menyelamatkan jiwa saudara dan saya.
Amat menyedihkan kerana ramai orang Kristen yang tidak lagi merasakan keajaiban dan keagungan hari Natal. Natal yang datang tidak lagi sesuatu yang bererti atau istimewa. Sudah menjadi biasa-biasa. Bukan lagi suatu hal yang menggetarkan hati dan jiwa mereka. Malah sambutan ulangtahun ahli keluarga kita lebih bererti dari sambutan natal. Bukankah itu menunjukkan kedudukan Yesus dalam hidup kita? Siapa yang lebih utama dan berharga. Saudara/I pembaca, mahukah anda melihat ke dalam hatimu yang paling dalam dan bertanya apakah reaksinya pada natal tahun ini? Apakah hatimu masih berbisik kepada Tuhan dan berkata,”Yesus, terimakasih kerana kelahiranmu sungguh-sungguh ajaib. Terimakasih kasihMu yang agung ini.”
Mari kita sekali lagi menyelidiki perayaan natal kita. Sudah berhasilkah? Adakah sekali lagi berita tentang Anak Yang Ajaib itu dirasakan begitu ajaib dan menghairankan Saudara dan saya?

2. Adanya orang-orang yang menyimpan dalam hati dan merenungkan berita natal (ay. 19)


Reaksi yang kedua adalah orang-orang yang mendengar khabar tentang natal itu menyimpan perkara itu dalam hati mereka. Seperti Maria. Setelah mendengar khabar yang dibawa oleh para gembala, Maria menyimpan semua itu dalam hatinya. Menyimpan dan merenungkan mengandung pengertian bahwa Maria mengingati dan terus-menerus memikirkan peristiwa yang ajaib itu yang telah begitu menghairankan dia, juga semua orang yang mendengarnya. Natal yang berhasil adalah apabila orang ramai menyimpan baik-baik dalam hati mereka akan kabar kesukaan itu. Mereka menghayati kasih Tuhan itu dan membawanya pulang. Mereka menyimpannya kerana mereka menghargainya. Mereka bersukacita kerana tahu kelahiran Yesus itu adalah bukti kasih Tuhan kepada mereka.
Mari kita bertanya pada diri kita sendiri. Kesan natal apa yang masih ada dalam hati dan pikiran kita saat ini? Apakah seusai perayaan natal, yang kita paling ingat adalah makanannya yang sedap, acaranya yang meriah dan menarik, persembahan yang diatur begitu menghiburkan atau sejumlah besar kekurangan pada acara tersebut atau yang kita bawa pulang adalah kesedaran akan kasih Tuhan? Adakah kita sudah mempunyai reaksi yang benar dalam merayakan natal seperti yang dimiliki oleh Maria? Marilah kita terus menyimpan , mengingati dan menghargai khabar gembira dan sukacita yang terkandung dalam perayaan natal ini.

3. Adanya orang-orang yang memuji dan memuliakan Allah setelah mendengar berita natal (ay. 20)


Reaksi yang ketiga adalah, orang-orang memuji-muji dan memuliakan Tuhan setelah mendengar berita natal. Seperti para gembala tersebut. Gembala-gembala itu telah mendengar dan melihat peristiwa yang disampaikan oleh malaikat dan mereka membuktikan Allah sungguh setia dan tidak pernah berbohong, maka mereka mulai memuji dan memuliakan Allah. Kata "memuji" menunjukkan reaksi mereka terhadap kebaikan yang telah Allah perbuat bagi mereka dan kata memuliakan menunjukkan pada kebesaran karya Allah bagi mereka. Mereka melakukan pujian dan pengagungan terhadap Allah kerana mereka mengalami kebaikan dan melihat sendiri perbuatan Allah yang besar. Amat disayangkan ada begitu ramai orang yang tidak mengalami secara peribadi kabar kesukaan yang diberitakan melalui natal. Mereka beranggapan bahawa natal itu sama seperti perayaan-perayaan yang lain. Mereka tidak melihat kebaikan Tuhan dan karya Tuhan yang besar yang disediakan bagi mereka melalui natal. Maka, mereka tidak meresponi natal dengan pujian dan pengagungan kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para gembala. Pujian dan pengagungan disini bukan setakat di gereja semasa lagu-lagu dimainkan tetapi pujian dan pengagungan yang terus menerus keluar dari hati dan jiwa kita dan bukan setakat di bibir sahaja. Layaklah Tuhan menerima segala pujian, hormat, syukur dan pengagungan dari kita umat manusia yang ditebusNya.
Ada ramai orang Kristen yang setelah ibadah natal, meneruskan sambutan natal dengan acara-acara yang tidak memuliakan Tuhan. Jauh sekali niat saya untuk menghakimi tetapi marilah kita menyambut natal dengan cara yang berkenan kepada Allah dan member impak kepada orang yang tidak mengenal Tuhan. Janganlah kita membuat orang tersandung dan janganlah kita mempermalukan Tuhan kita dengan perbuatan yang tidak benar. Dunia telah merosakkan sambutan natal yang benar dengan pesta pora. Janganlah kita orang yang mengaku percaya kepada Yesus melakukan hal yang sama tetapi marilah kita menjadi seperti para gembala yang menceritakan kepada orang lain tentang natal yang sesungguhnya terutama kepada yang belum mengenal Tuhan Yesus.

Tahun ini , untuk sambutan natal, mari kita bertanya kepada diri kita :
Apakah kita siap merayakan natal yang berhasil , sesuai dengan kehendak Allah?
Sejujurnya, pada saat saya menyiapkan artikel ini, saya sendiri bertaubat dan tahun ini saya bertekad untuk memberikan reaksi yang benar dan menghayati karya Tuhan yang ajaib dalam hidup saya dan sungguh-sungguh memuliakan Tuhan atas kasihNya. Saya juga mengucapkan “SELAMAT HARI NATAL KEPADA SEMUA PEMBACA” dan saya berdoa agar anda semua sekali lagi mengalami natal yang sesungguhnya. Sekian dan Tuhan memberkati.

1 comment:

ritsmering. said...

bah brother tahniah dgn blog ini ya!! Semoga bahagia Menyambut Natal bahhhh